Wednesday, December 30, 2009

Falsafah Hidup- (Buat Para Pejuang!)



BERANI

Adapun di negara yang masih dijajah, maka para pemudanya tampil ke medan
pergerakan menuntut hak-hak tanah air, tidak mengenal jemu, tidak mengenal mundur, walaupun akan jatuh miskin dan melarat. Kerana dia tahu bahawa yang dituntutnya ialah perkara yang sah, yang diakui oleh seluruh manusia yang beradab. Dia belum hendak undur sebelum maksudnya tercapai. Dia sabar dan tawakal, tidak putus pengharapan.

KEBERANIAN BUDI

Tidaklah suatu bangsa tegak, dan suatu fahaman dapat berdiri, kalau di antara bangsa sendiri tidak ada yang berani menyatakan kebenaran. Sebab tiap-tiap bangsa amat segan mengubah yang lama. Dia hendak tetap pada yang lama, padahal kadang-kadang tidak sesuai dengan zamannya lagi. Kalau ada suara baru mengkritik yang lama itu, tentu akan mendapat sambutan yang sengit dari si cap lama. Orang akan ribut. Tetapi yang berani menyatakan kebenaran itu mesti tahan. Kerana di dalam menjatuhkan sesuatu benteng, orang yang agak di barisan pertama harus kena peluru, dan kadang-kadang jatuh mati. Tetapi askar barisan belakang akan berjalan terus di atas bangkai orang-orang yang dibarisan muka tadi. Maju terus , menyerang terus, sampai peluru musuh habis. Kemenangan di dapat dan perjuangan membawakan hasil yang menyenangkan.

Demikaianlah orang yang berani memyatakan fahaman baru. Orang itu memang selalu datang mendahului zamannya. Orang-orang yang sama hidup dengan dia belum kenal akan dia. Kelak mereka akan takluk juga. Sekurang-kurangnya orang marah kerana kritiknya, tetapi dengan diam-diam orang turuti apa yang diperkatakannya.

Rahsia kemajuan negeri-negeri Barat ialah keberanian orang-orang yang terkemuka menyatakan fikiran dan pendapat. Beratus tahun lamanya benua Eropah karam di dalam khayalan dan angan-angan. Tertutup pintu dari ilmu, yang sejati. Penyelidikan hanya berpegang di tangan kepala-kepala agama. Tiba-tiba mengeliatlah kebenaran, keluar dari pasungnya, bahawasanya ilmu itu bukanlah kepunyaan gereja sahaja, tetapi kepunyaan segala orang. Berpuluh-puluh tahun lamanya orang-orang yang menyatakan pendapat baru itu dipasung, dihina, dimaki, dibunuh, direjam dan dibuang, Tetapi mereka kerja terus, jatuh satu tegak yang lain, sehingga akhirnya kedaulatan ilmupun teguhlah. Kebenarnya teguh di atas sendinya, tidak dapat digoncangkan lagi.

Adapun agama Islam sejak dia dilahirkan adalah membela dan menegakkan kebenaran yang tulen, kebenaran yang tidak bercampur sedikit juga dengan keraguan, Setiap penganut Islam, wajib menyuruh berbuat baik mencegah yang mungkar, sehingga berabad-abad lamanya Islam menjadi guru dunia. Seruan Islamlah yang membangunkan Eropah dari kongkongan pendeta-pendeta yang menghambat-hambat kebenaran itu.

Orang yang berani menyatakan kebenaran, kalau beroleh kawan, adalah kawan yang setia dan yakin akan pendiriannya. Yang tidak ditakuti akan mungkir. Kalau dia beroleh lawan, ialah yang mestipun tidak tunduk selalu kepadanya, namun dia tetap menghormatinya. Dan kalau ada yang memusuhi, bukanlah kerana tidak mengakui kebesarannya. Tetapi rasa permusuhan timbul ialah lantaran telah mengakui lebih dahulu akan kebesarannya.

Kita tidak boleh sunyi setiap waktu dari orang yang berani menyatakan kebenaran. Yang meluruskan barang yang condong, membaiki bangsa yang salah. Yang tidak peduli pada kebencian dan ejekan orang. Meskipun benci kepadanya, namun kebenarnya tidak akan dapat ditolak. Orang tidak akan kuasa menolak pendapat itu. Orang hanya akan sempat membiar fitnah atas dirinya, kerana merasa kalah, dan tidak sanggup menghadapi dengan jalan bermuka-muka kerana pada hakikatnya dia tidak salah.

Apakah yang menimbulkan keberanian?

Yang menimbulkan keberanian ialah kebenaran.


Tidak ada suatu kekerasan senjata apa pun yang dapat mengalahkan keberanian lantaran kebenaran. Belanda berani kerana senjatanya lengkap. Tetapi kelengkapan senjata tidak dapat mengalahkan kebenaran. Benarlah pepatah tua nenek-moyang:
“Berani kerana Benar”

KEMENANGAN

Kita mesti menjadi seorang gagah perkasa, tetapi kita pun mesti menjadi seorang budiman, seorang yang panjang fikiran. Seorang budiman sentiasa mendengarkan suara perasaannya sendiri. suara yang sentiasa menyelinap di dalam sanubarinya.

Dia mengerti bila dia mesti menurutkan rasa marah, di mana tempatnya mengambil kesempatan. Maju sahaja ke medan perang dengan gagah, tetapi akal tumpul, bukanlah pekerti seorang yang gagah, tetapi kecerobohan yang biasa dilakukan oleh orang-orang yang bodoh.
Seorang yang berjiwa besar memandang lebih dahulu di sasaran mana dia mesti dimasukinya. Baginya bukan sembarangan waktu menyentak berisi ancaman, kerana ancaman itu tidak ada dalam riwayat hidupnya.

Apabila satu kali dia telah tampil ke muka, pulangnya hanya untuk dua perkara:
“Esa hilang, dua terbilang”.!!!



Prof. Dr Hamka


sumber :

http://amarmahmood.com/2008/03/09/falsafah-kehidupan-pak-hamka-buat-para-pejuang/


sihatceriacergas & the endaevour to achieve more...

No comments: